Ini Sebab Kenapa Ali Puteh Kalah Sam4n, Hakim Dedahkan Apa Yg Jadi Lepas 2 Hari Arwah Abam Meninggal

“Saya sudah rasa lega.”

Demikian respons ringkas balu Allahyarham Abam Bocey iaitu Siti Norhidayah Mohd Ali selepas menang kes saman fitnah yang dfailkan adik iparnya, Ali Puteh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, dia juga meminta orang ramai menitipkan segala doa yang baik untuk diri dan juga anaknya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

“Doakan yang baik-baik untuk saya dan anak,” katanya dalam nada sebak.

Kenyataan fitnah yang dibuat oleh Ali Puteh terhadap kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd. Ali dalam laman sosial Instagram, disifatkan amat menjatuhkan maruah dan mengaibkan wanita itu lebih-lebih lagi dalam keadaannya yang baru kehilangan suami.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini berpendapat, kata-kata Ali Puteh yang ditujukan kepada balu Allahyarham Abam Bocey sangat melampau sedangkan dia masih bersedih dan kerisauan untuk membesarkan anak yang masih kecil.

Ali, Keluarga Ajak Hidayah Bincang Pasal Harta Pada Hari Kedua Arwah Pergi

Hakim Zulqarnain Hassan berpuas hati, pihak yang mengejar harta bukannya Siti Nor Hidayah sebaliknya Ali Puteh dan keluarganya kerana mereka yang mengajak wanita itu berbincang mengenai harta Abam Bocey pada hari kedua kematian arwah.

Pada hemat beliau, Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan dan kakaknya, Sharifah Nor Wahidah berniat menguruskan harta Abam Bocey apabila mengambil telefon dan beg duit arwah pada hari kedua kematiannya.

“Mereka seolah-olah tidak memahami kesedihan isteri arwah yang dalam dilema untuk mengharung masa depan dan membesarkan anak yang masih kecil dalam persekitaran yang tertekan,” ujar hakim berkenaan ketika membacakan keputusannya.

Mahkamah menyifatkan kata-kata itu amat keras dan melampau seolah-olah isteri arwah adalah spesies yang kerjanya merompak harta orang tanpa hati dan perasaan.

Ujarnya, perkataan aib tersebut jika ditujukan sekalipun kepada pesakit yang uzur dan terlantar di hospital, dia akan cuba bangun dan mempertahankan maruahnya.

Terdahulu, Zulqarnain memerintahkan Ali Puteh membayar ganti rugi am RM60,000 kepada Siti Nor Hidayah kerana memfitnahnya dalam laman sosial Instagram, dua tahun lalu.

Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman balu Allahyarham Abam Bocey terhadapnya dengan kos RM13,000.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut menolak tuntutan saman Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya terhadap usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Youtube usahawan kosmetik itu.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Siti Nor Hidayah untuk mendapat perintah injunksi bagi menghalang Ali Puteh menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya.

Dalam keputusannya, Zulqarnain turut mendapati, Siti Nor Hidayah dilayan secara dingin oleh keluarga Ali Puteh berdasarkan temu bual dalam laman YouTube berikutan keengganan mereka pada awalnya untuk memberikan kunci kereta untuk ke klinik.

Ujar hakim itu, keluarga Allahyarham malah mencabut cukai jalan kereta selepas mengetahui Siti Nor Hidayah bercadang pulang ke kampung.

Pada hemat Zulqarnain, mahkamah tidak menerima pembelaan plaintif-plaintif bahawa balu Allahyarham tidak boleh menggunakan kereta, mengambil wang dalam dompet atau menggunakan telefon atas alasan urusan harta pusaka belum dimuktamadkan.

SITI Nor Hidayah Mohd. Ali (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bersama ahli keluarga bagi keputusan kes saman fitnahnya terhadap Ali Puteh. FOTO/NORLIZAH ABAS

Beliau berpuas hati, tiada keterangan yang dikemukakan oleh plaintif yang menunjukkan wujud undang-undang bahawa sekiranya seorang suami meninggal, isteri dilarang sama sekali untuk menggunakan harta suami walaupun untuk kebajikan.

“Jika digunakan sekali pun kereta arwah suami atau diambil wang suami untuk berbelanja, tiada apa yang melarang harta pusaka tidak boleh diagihkan atau diputuskan kerana ia boleh dipulangkan semula kemudiannya,” ujar Zulqarnain.

Mahkamah turut berpuas hati, wang RM10,000 yang diambil oleh isteri arwah bukan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, sebaliknya ke dalam akaun anaknya.

Zulqarnain turut berpuas hati, layanan dingin yang diterima seolah-olah menunjukkan Siti Nor Hidayah bukan ahli keluarga terbukti apabila isteri arwah dikeluarkan daripada WhatsApp kumpulan keluarga arwah.

Menyentuh penglibatan Aliff Syukri, mahkamah berpuas hati usahawan itu tidak berniat jahat untuk berkonspirasi bersama Siti Nor Hidayah untuk memfitnah plaintif-plaintif kerana temu bual itu bertujuan membantu isteri arwah.

Sehubungan itu, saman keempat-empat plaintif ditolak selepas mahkamah berpuas hati mereka gagal membuktikan tuntutannya terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah.

Ads by Kiosked
Kemelut antara Siti Nor Hidayah dan keluarga tersebut tercetus selepas kematian Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.

Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun Instagramnya yang antara lain menggambarkan dirinya seorang yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Ali Puteh bersama, bapanya, Syed Mohd. Ridzuan Syed Hassan, 67; arwah ibunya, Sabariah Arshad, 63; dan kakak sulungnya, Sharifah Norwahidah, 44, memfailkan saman fitnah terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah pada Julai 2020.

Temu bual itu didakwa telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnah Ali Puteh sekeluarga selaku plaintif. – UTUSAN

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*