Pemilik Restoran Akhirnya Jelaskan Kenapa Harga Yang Mahal Dikenakan Kepada Pelanggan

Pemilik Restoran Akhirnya Jelaskan Kenapa Harga Yang Mahal Dikenakan Kepada Pelanggan

LANGKAWI: Pemilik Restoran Terapung Sas Rimba di sini, Norasyikin Musa terkilan selepas pelanggan menularkan harga ikan siakap di restorannya yang didakwa terlampau mahal.

Beliau turut mempersoalkan tujuan sebenar pelanggan terbabit menyebarkan perkara itu selepas bersetuju membayar harga dikenakan pada hari kejadian.

“Saya betul-betul tak sangka sedangkan dia sendiri yang pilih ikan segar dalam sangkar untuk dimasak. Ketika ambil pesanan, saya ulang banyak kali bahawa ikan itu besar, sambil saya tunjuk dengan isyarat tangan anggaran saiz ikan,” katanya ketika ditemui di restorannya di Kilim Geoforest Park, di sini semalam.

Menafikan sekeras-kerasnya memaksa pelanggan memilih ikan bersaiz besar bagi mendapat keuntungan berganda selepas perniagaan terjejas teruk akibat pendemik COVID-19, Norasyikin berkata, beliau dan pekerjanya tidak pernah berbuat demikian sepanjang lapan tahun mengusahakan restoran itu.

“Ketika ambil pesanan, pelanggan akan diberitahu berat ikan dikira dalam sukatan gram dan setiap menu lengkap tertera harga dengan jelas. Dalam kes yang tular itu, selepas selesai makan, kumpulan sembilan pelancong terbabit tidak datang pun berjumpa saya untuk bertanya mengenai harga yang dikenakan.

“Ketika melangkah meninggalkan restoran pun, mereka tidak cakap apa-apa mengenai harga dikenakan ke atas ikan siakap dimasak menu tiga rasa dan stim limau itu. Sebenarnya, ikan siakap yang mereka pilih itu seberat 7.48 kilogram, berusia 11 tahun dan dipelihara untuk dipertontonkan sebagai tarikan kepada pengunjung restoran,” katanya.

Sejak kelmarin, tular resit dimuat naik di laman sosial oleh pelancong ke Langkawi yang dikenakan harga RM1,196.80 untuk hidangan makan tengah hari ikan siakap seberat 7.48 kilogram di sebuah restoran terapung di pulau peranginan berkenaan.

Berdasarkan perincian pada resit berkenaan, jumlah keseluruhan bil, termasuk makanan dan minuman lain adalah RM1,759.50.

Sementara itu, empat penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Langkawi turut melakukan siasatan di restoran itu, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Langkawi, Abdul Rafar Wahid ketika dihubungi, memaklumkan pihaknya mengumpul maklumat kejadian itu daripada pengadu serta peniaga dan siasatan lanjut sedang dijalankan secara adil.

Insiden ikan siakap mahal di Langkawi… kali ini wanita pula luah rasa berang selepas dicaj RM1,738.70

SELEPAS kecoh dengan kisah seorang lelaki menularkan bil yang dikenakan kepadanya ketika menjamu selera di sebuah restoran di Langkawi, terbaharu tampil pula seorang wanita meluahkan rasa berang setelah bil hidangan di sebuah kedai lain di pulau itu turut mencecah RM 1,738.70.

Menerusi satu hantaran di Facebook, pengguna bernama Niena ZM menceritakan pengalamannya ketika bercuti bersama keluarga di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Niena berkata, kejadian berlaku pada Rabu (3 November) ketika sedang makan di restoran terapung selepas menaiki bot untuk melihat keindahan alam semula jadi di Kilim Geoforest Park.

ARTIKEL BERKAITAN: Kepala Ikan RM600: “Lain Kali Tengok Harga Dulu!”

“Secara logiknya, pemilik kedai akan memberitahu berapa harga ikan berdasarkan saiznya per gram supaya pelanggan dapat membuat keputusan untuk membuat pesanan atau tidak.

“Waktu kami nak order tu pun sepatutnya orang kedai boleh jelaskan dahulu berapa anggaran harga makanan yang dipesan kalau betul berniaga secara telus.

“Kedai tomyam di Kuala Lumpur pun bagitahu saiz makanan dan harga serta memberi cadangan yang sesuai untuk pelanggan,” katanya.

Menurut wanita itu, dia memesan makanan untuk 10 dewasa dan 11 kanak-kanak.

Dia mendakwa pekerja di restoran itu hanya mengambil pesanan hidangan tanpa memberitahu harga sebenar dan restoran berkenaan juga tidak menunjukkan saiz ikan ketika dia membuat pesanan.

“Kedai ada display harga segram, kami bukan argue ikan siakap tu RM160/kg. Kami mahu ketengahkan saiz ikan yang diberi itu adalah lebih besar sedikit daripada siakap biasa iaitu 5.2kg.

“Bila sampai, kami pun terpinga-pinga ikan itu boleh dibahagikan hidangannya kepada tiga pinggan. Masa tu dah rasa tak sedap hati tengok saiz ekor sahaja dapat agak saiz ikan,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Niena juga menjelaskan bahawa mereka dikenakan caj 1kg masing-masing untuk udang dan sotong walaupun tidak memesan sebanyak itu.

“Udang dan sotong dicaj dalam resit 1kg walaupun kami tak minta sebanyak itu dan dihidangkan di dalam dua pinggan yang tidak sampai sekilo pun (boleh tengok video),” tulisnya.

Walaupun makanan laut yang dihidangkan oleh restoran itu segar, Niena berpendapat hidangan yang disediakan tidaklah sedap.

Jelas Niena lagi, tujuannya membuat hantaran di Facebook adalah kerana mahu berkongsi pengalaman supaya orang lain tidak menjadi mangsa.

“Kami terbayang kalau yang kena tu orang yang betul-betul tak mampu. Haih, macam mana lah kan.

“Untuk pemilik kedai yang bersubahat sekali menipu pengunjung tanpa rasa bersalah, semoga dibalas setimpal di dunia sebanyak orang-orang yang anda aniaya,” tulisnya lagi.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook Muhammad Faris Zulkarnain telah melahirkan rasa terkejut kerana dikenakan bil berjumlah RM1,196.80 untuk hidangan ikan siakap di sebuah restoran terapung di pulau legenda tersebut. – THE STAR

LANGKAWI – Siasatan awal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati peniaga yang tular kerana menjual hida­ngan ikan siakap lebih RM1,000 tidak melanggar syarat di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Langkawi, Abdul Rafar Wahid berkata, peniaga tersebut telah mempamerkan harga bagi setiap menunya dengan jelas.

“Walau bagaimanapun, pihak kami telah mengeluarkan notis di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 kepada peniaga terbabit

“Notis tersebut meminta peniaga untuk melampirkan dokumen sebagai bukti harga yang diletakkan oleh peniaga tersebut adalah munasabah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Selain itu, kata beliau, pihak­nya tidak boleh menetapkan harga bagi peniaga terbabit kerana barangan jualannya tidak tersenarai sebagai barang-barang kawalan di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 atau Skim Harga Maksimum Musim Pera­yaan.

Walau bagaimanapun, menurut Abdul Rafar, pihaknya setakat ini hanya menerima satu aduan berkenaan perkara tersebut.

Katanya, aduan itu adalah da­ripada orang awam yang men­getahui perkara tersebut daripada media sosial dan bukan daripada pelanggan itu sendiri.

Justeru, beliau meminta pe­langgan terlibat untuk tampil dan membuat aduan rasmi kepada KPDNHEP jika berasa ditipu oleh peniaga berkenaan

“Aduan daripada pelanggan adalah penting bagi mendapatkan keterangan lanjut untuk memastikan siasatan dapat dilakukan dengan adil dan telus,” tambahnya.

 

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*