Catriona Ross Mohon Maaf – Video Parodi Buat Iqbal Sentap, “Tidak Semua Benda Dalam Hidup Saya Berkiblatkan Duit”

Catriona Ross Mohon Maaf – Video Parodi Buat Iqbal Sentap, “Tidak Semua Benda Dalam Hidup Saya Berkiblatkan Duit”

Pelakon Catriona Ross tampil memohon maaf kepada usahawan dan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Vida ekoran video parodi yang dibikin buat siaran sebuah program hiburan minggu lepas.
Jelas Catriona, dia mengambil masa yang lama untuk memberikan respon terhadap ketidakpuasan hati Iqbal terhadap video parodinya kerana sibuk menguruskan keluarga.

Malah, Catriona atau lebih popular kini dengan panggilan Kak Kek menafikan tuduhan Iqbal bahawa dirinya melakukan video terbabit disebabkan tawaran lumayan.
“Saya minta maaf kerana lambat kerana saya mengambil masa terlalu lama untuk membalas anda. Saya sibuk menguruskan keluarga di rumah walaupun Iqbal merasakan Kak Kek sengaja nak berdiam diri.

“Tapi hakikatnya apabila di rumah, masa kita sangat padat.
“Menjawab isu pertanyaan Iqbal adakah saya melakukan parodi itu disebabkan duit? Saya nak jelaskan kepada Iqbal, tidak semua benda dalam hidup saya berkiblatkan duit.
“Apatah lagi sebagai seorang profesional, saya akan melakukan tugas saya mengikut kehendak, keperluan dan profesionalisme saya sebagai seorang pelakon.

“Tetapi menghormati pandangan dan perasaan Iqbal, saya minta maaf dengan hati yang terbuka. Mudah-mudahan Iqbal merasa lebih tenang dan damai selepas ini.
“Sebab saya pun terkejut apabila Iqbal mengatakan Iqbal seolah-olah mengalami depresi kerana masalah Iqbal,” katanya dalam hantaran video di Instagram Stories pada Selasa.

Sehubungan itu juga, Catriona meminta izin untuk berkongsi pandangan dan sebingkis nasihat buat Iqbal yang mana namanya kini sedang sohor di media sosial ekoran episod kisah cintanya bersama Datuk Seri Vida.

Tegur Catriona dengan analogi ringkas; sekiranya takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.

“Dan saya minta izin juga daripada seorang kakak kepada seorang adik, sebagai seorang yang jauh lebih matang saya nak nasihatkan Iqbal sekiranya takut dilambung ombak jangan berumah tepi pantai dik. Memang susah! Memang ujian kita sangat dahsyat.

“Pada Iqbal yang seolah-olah menceburi dunia selebriti, dunia di mana orang mengenali kita, Iqbal kena sangat kuat.

“Jangan ambil benda yang kecil sebagai satu kudis kepada Iqbal ya. Mudah-mudahan Iqbal menerima permohonan maaf saya ini. Terima kasih,” ujarnya.
Video parodi Catriona turut menampilkan Danial dan Jihan Muse yang difahamkan melakonkan semula babak dalam video kejutan hari jadi Iqbal oleh Datuk Seri Vida baru-baru ini.

Hal itu secara tidak langsung mengguris hati Iqbal dan membuatkannya terkilan.
“Saya tak sangka Kak Kek mampu bawa watak Datuk Seri Vida dengan sangat menjadi dan menghiburkan.

“Cuma saya betul-betul terkilan. Saya berdepan depresi ditekan dengan pelbagai tohmahan. Sanggup Kak Kek buat begitu…
“Saya terfikir adakah Kak Kek melakukan ini sebagai satu sindiran ataupun hanya kerana dapat bayaran?

“Ada perkara boleh bergurau, di saat saya kritikal begini boleh dijadikan bahan jenaka?” ujarnya yang telah cuba menghubungi Catriona namun tidak berjawab.

 

Sumber : gempak

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*